Guru Mulia Dan Pahala Yang Berterusan. Guru adalah satu pekerjaan yang mulia. Setiap manusia pasti pernah mempunyai guru yang mengajarkannya tentang sesuatu. Dari tidak pandai menjadi pandai. Dari hanya tahu sedikit, menjadi pakar dalam sesuatu bidang pula. Sewajarnyalah kedudukan guru begitu mulia di sisi Tuhan. Seorang guru banyak menghabiskan masanya mendidik anak bangsa. Seorang guru banyak berjasa kepada kita semua, umpama lilin yang menerangi kegelapan. Kadang ada kalanya seorang guru mendahulukan anak muridnya berbanding keluarganya sendiri. Jadi, kenanglah jasa guru anda dan doakan mereka setiap masa.
Guru Mulia Dan Pahala Yang Berterusan
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ
Pengajaran:
1. Setiap Muslim bergantung dengan amal yang mereka lakukan semasa hidup.
2. Ada amalan yang dilakukan oleh seorang Muslim semasa hidup akan berterusan mengalir pahalanya walaupun dia telah meninggal:
a. Sedekah yang pernah kita buat semasa hidup sama ada berbentuk wakaf, derma, pemberian, hadiah dan sebagainya. Selagi ia dimanafaatkan oleh makhluk samada manusia, binatang mahupun tumbuhan, ganjaran pahalanya akan tetap berterusan untuk orang yang mati.
b. Ilmu bermanfaat sama ada ilmu agama mahupun ilmu dunia yang digunakan untuk kemaslahatan hidup termasuk buku, artikel, juga dalam bentuk elektronik seperti laman sesawang, FB, telegram, whatsapp. Selagi ilmu tersebut diamalkan atau faedahnya dimanfaatkan, maka ganjaran pahala akan diperolehi oleh mereka yang menyampaikan atau yang memulakan.
c. Anak solleh yang sentiasa mendoakan rahmat dan keampunan kepada kedua ibu bapa.
3. Jazakumullahhu khairan katsira kepada guru sama ada yang mengajar di Nurseri, Tadika, Sekolah Rendah, Sekolah Menengah, Madrasah, Masjid dan Surau, Institusi Pengajian Tinggi seperti Kolej, IPG, dan Universiti. Juga kepada setiap individu yang menyampaikan ilmu yang bermanfaat.
Semoga usaha para penyampai ilmu yang bermanfaat, akan menjadi penerus amal yang mendatangkan ganjaran pahala berterusan walaupun setelah meninggal dunia.
0 Comments